Teori tetangsi
Teori tetangsi

Teori tetangsi

Teori tetangsi, teori tetali, atau teori dawai adalah suatu model alam yang membayangkan setiap zarah itu adalah sejenis objek bermatra-1 bernama tetangsi. Ia menerangkan bagaimana suatu tetangsi itu merambat merentasi ruang serta bagaimana ia berinteraksi dengan tetangsi lain. Pada skala yang lebih besar daripada saiz tetangsi itu, suatu tetangsi kelihatannya tiada beza dengan zarah biasa. Setiap jisim, cas, dan sifat-sifat lain zarah tersebut ditentukan oleh getaran tetangsi tersebut. Dalam teori tetangsi, salah satu daripada banyak mod getaran dihasilkan oleh tetangsi mewakili graviton, iaitu daya graviti yang berbentuk zarah. Oleh itu, teori tetangsi juga adalah suatu teori graviti kuantum.Ia pertama kali dikaji pada lewat 1960-an sebagai suatu teori daya kuat nuklear sebelum ia diganti oleh kromodinamik kuantum. Ahli fizik kemudiannya menyedari bahawa kelemahan-kelemahannya yang membuatkannya tidak sesuai dalam kerangka fizik nuklear merupakan suatu kelebihan jika dilihat dari kerangka teori graviti kuantum. Bentuk terawal teori tetangsi dipanggil teori tetangsi kebosonan kerana hanya mengambil kira zarah boson. Kemudiannya, ia berkembang menjadi teori aditetangsi yang menghubungkan sifat adisimetri di antara boson dan fermion. Terdapat lima jenis teori tetangsi utama yang diterima. Pada pertengahan tahun 1990-an, suatu terkaan telah diusulkan bahawa sebenarnya setiap satu daripada lima jenis ini adalah merujuk kepada teori yang sama iaitu teori-M, tetapi untuk kes-kes tertentu. Pada penghujung 1997, ahli-ahli teori mendapati terdapat satu perhubungan penting yang dipanggil padanan AdS/CFT yang menghubungkan teori tetangsi dengan teori medan kuantum.Salah satu cabaran teori tetangsi ialah teori lengkapnya tidak mempunyai takrifan yang memuaskan untuk semua keadaan. Satu lagi masalah yang timbul ialah landasan teori tetangsi menimbulkan pelbagai jenis alam yang boleh wujud. Hal ini menyulitkan usaha mengembangkan fizik zarah dengan menggunakan teori ini. Masalah-masalah ini menyebabkan sebahagian ahli mengkritik kaedah-kaedah ini serta mempersoalkan usaha penyelidikan teori tetangsi.